Mohd Hilmie Hussin


WANITA yang kini dirawat di Hospital Melaka dipercayai ada kaitan dengan penemuan janin bayi dalam lubang tandas sebuah kilang di Batu Berendam, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, wanita berusia 34 tahun itu dikesan ketika datang ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan, semalam sebelum menghilangkan diri.

Bagaimanapun, katanya, pihak hospital menghubungi semula wanita berkenaan bagi membolehkannya mendapatkan rawatan susulan.

“Pada sebelah petang (semalam), wanita terbabit dibawa ibunya ke hospital. Namun, pihak hospital hanya menyedari yang wanita itu baharu melahirkan bayi selepas melihat kehadiran polis.

“Polis menemui wanita berkenaan di wad bersalin kira-kira jam 5 petang, dan wanita berkenaan perlu ditahan wad bagi menjalani pembedahan berikutan masih terdapat uri dalam rahimnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Afzanizar berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati janin yang ditemui adalah janin bayi lelaki dipercayai berusia kira-kira enam bulan.

“Janin bayi seberat 450 gram itu cukup sifat, tiada kesan abnormal dan tiada kesan trauma atau cedera. Sebab kematian masih dalam siasatan,” katanya.

Berita berkaitan

Janin dalam mangkuk tandas

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 4:55 PM