TENGKU ADNAN. FOTO Arkib NSTP
TENGKU ADNAN. FOTO Arkib NSTP
Nor Azura Abdul Jalil


MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, daripada pertuduhan kedua yang dihadapinya iaitu menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan berhubung tugas rasminya, dua tahun lalu.

Hakim Azman Ahmad memutuskan demikian terhadap Tengku Adnan, 68, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh daripada pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dihadapinya pada 15 November lalu.

Terdahulu, Julia memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan mendapati fakta di dalam pertuduhan pertama dan kedua tidak berkaitan dan tidak sewajarnya dibicarakan bersama.

“Pihak pendakwaan sudah memfailkan semula pertuduhan itu sebagai pertuduhan baharu dan akan dibacakan semula,” katanya.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan tidak membantah permohonan itu namun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan RM1 juta yang yang dikenakan ke atas anak guamnya sebelum ini bagi dua pertuduhan kepada RM500,000 dengan seorang penjamin.

Menurutnya, ia bagi membolehkan wang itu digunakan untuk membayar wang jaminan kepada pertuduhan baharu yang difailkan pihak pendakwaan.

Dalam prosiding berasingan, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan kedua itu dibacakan semula sebagai pertuduhan baharu.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima rasuah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, Level 1, Lot A4, Block A, Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Bagi perbuatan itu, Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Tengku Adnan diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 3:20 PM