PEMANDU Grab yang dilaporkan hilang sejak kelmarin ditemui meninggal dunia dalam kereta miliknya lewat petang semalam di tempat letak kereta belakang kedai di Lintas Jaya Kepayan, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
PEMANDU Grab yang dilaporkan hilang sejak kelmarin ditemui meninggal dunia dalam kereta miliknya lewat petang semalam di tempat letak kereta belakang kedai di Lintas Jaya Kepayan, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Nazllie Zainul


PEMANDU Grab yang dilaporkan hilang sejak kelmarin, ditemui meninggal dunia dalam kereta miliknya lewat petang, semalam.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, mangsa Ahmad Nasip@Nor Ahmad Nasib, 54, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anak lelaki mangsa di tempat letak kereta belakang kedai di Lintas Jaya, Kepayan, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, anak mangsa yang juga pemandu Grab pergi lokasi berkenaan selepas mendapat maklumat daripada rakan pemandu Grab yang lain berkaitan tempat ayahnya sering berehat.

“Setibanya di tempat dimaklumkan, anak mangsa mendapati ayahnya berada di tempat duduk pemandu dalam kereta Proton Saga FLX dan keadaan enjin kereta dimatikan, namun tidak sedarkan diri.

“Selepas menyedari mangsa tidak sedarkan diri, anak mangsa terus menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan.

“Setibanya pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (QEH) di lokasi kejadian, mangsa disahkan sudah meninggal dunia, namun punca kematian tidak diketahui,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, siasatan awal mendapati mangsa keluar daripada rumahnya yang beralamat di Taman Perumahan Pengalat Besar, Papar pada 1 Disember lalu kira-kira 5 pagi bagi mendapatkan penumpang.

Katanya, bagaimanapun mangsa tidak pulang sejak keluar rumah menyebabkan anak perempuan mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar mengenai kehilangan bapanya.

Dalam pada itu, Habibi berkata, pihak polis juga tidak menjumpai sebarang unsur jenayah selain tiada kecederaan pada badan mangsa.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mangsa di hantar ke jabatan forensik QEH untuk bedah siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.

Berita berkaitan:

  • Bapa tak pulang lepas pandu Grab
  • Jumpa pemandu Grab tak sedarkan diri
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 3:43 PM