Nurul Fhatihah Zakinan


TIADA keperluan untuk merekodkan keputusan penangguhan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dalam Penyata Rasmi (Hansard) Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata, perkara itu tidak perlu dibangkitkan kerana keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat Kabinet, semalam.

Beliau berkata, pihak pembangkang sengaja membangkitkan isu baharu (Hansard) walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah memutuskan tidak akan meratifikasi ICERD melalui kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

"Apabila kerajaan tidak tandatangani (ICERD), datang pula isu (penangguhan) tidak ada dalam Hansard. Apa mereka (pembangkang) mahu sebenarnya, nak selesai atau heret perkara ini menjadi lebih kepada kepentingan politik.

"Kenapa pula ke Hansard Parlimen, perkara itu (penangguhan) tidak ada kena-mengena dan keputusan bukan kerajaan nak buat (tandatangan) pun," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden AMANAH berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) AMANAH Nasional, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri merangkap Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahari dan Ketua Wanita AWAN, Dr Siti Mariah Mahmud.

Mujahid berkata, beliau sendiri sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pusat Islam dan hasilnya itu dibawa ke Kabinet.

Katanya, kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara.

Sementara itu, mengulas mengenai pengumuman peletakan jawatan Dr Siti Mariah tahun depan, Mujahid berkata, parti masih memerlukan khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang itu bagi membantu melangsungkan perjuangan mereka.

"Dr Mariah antara pengasas awal AMANAH. Beliau pernah aktif dalam Muslimat PAS sebelum menyertai AMANAH.

"Saya tak mahu komen lanjut tetapi mungkin khidmat beliau masih diperlukan bagi memperkukuhkan AWAN AMANAH," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 10:07 PM