ROSLAN (dua kiri) memegang poster Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2018 pada sidang media khas di Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur, hari ini. Foto SUPIAN AHMAD
ROSLAN (dua kiri) memegang poster Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2018 pada sidang media khas di Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur, hari ini. Foto SUPIAN AHMAD
Amir Abd Hamid


JABATAN Kerja Raya (JKR) mensasarkan nisbah seorang jurutera bagi 100 penduduk dapat direalisasikan dalam tempoh enam tahun akan datang apabila Malaysia berkembang sebagai negara berteknologi tinggi.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ir Dr Roslan Md Taha berkata, nisbah itu adalah ideal untuk memastikan industri pembinaan nasional dalam landasan tepat memiliki modal insan mencukupi dalam bidang kejuruteraan profesional menjelang 2025.

Perbandingan nisbah ketika ini, katanya, seorang jurutera bagi 230 penduduk iaitu membabitkan 130,000 profesion berkaitan termasuk jurutera, arkitek dan juruukur bahan.

“Daripada 130,000 profesion teknikal yang berdaftar dengan badan profesional berkaitan pula, hampir 23,000 sudah ditauliahkan bertaraf profesional membawa gelaran seperti Ir bagi jurutera, Ar untuk arkitek dan Sr bagi juruukur bahan. Jurutera bergelar Ir adalah seramai 19,120.

“Dalam era menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), profesion teknikal terus memainkan peranan utama untuk mengisi semua ekosistem yang bertumpu di dalam bidang teknologi dan digital.

“Justeru, profesion teknikal mendapat permintaan tinggi sekarang dan hari mendatang,” katanya pada sidang media khas di ibu pejabat JKR di Kuala Lumpur, hari ini sempena Hari Profesion Teknikal Negara yang akan disambut pada 4 dan 5 Disember ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Jurutera Malaysia Datuk Ir Mohd Adnan Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Ir Kamaluddin Abdul Rashid dan Jurutera Mekanikal Bahagian Sekretariat Cawangan Dasar Pengurusan Korporat JKR Mohd Hazery Mohd Shamsi.

Menyentuh mengenai Hari Profesion Teknikal Negara, Roslan berkata, sambutan dianjurkan untuk menghargai dan memartabatkan profesion teknikal di negara ini.

Menurutnya, beberapa jentera berat turut dipamerkan seperti Roller, Dozer Mounted On Low Loader Trailer, Bridge Inspector Vehicle dan kenderaan siap siaga bencana pada hari berkenaan.

“Kami juga menjemput pihak universiti selain badan profesional seperti Lembaga Jurutera Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia, Lembaga Juruukur Bahan Malaysia, Lembaga Juruukur Tanah Malaysia dan Lembaga Teknologis Malaysia menyertai pameran. “Anugerah Tokoh Teknikal Peringkat JKR 2018 turut diperkenalkan dan ketika ini kami masih melakukan saringan untuk mencari calon terbaik sama ada daripada pihak kerajaan atau swasta,” katanya.

Katanya, sambutan hari berkenaan akan diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 9:10 PM