DR Mahathir (kiri) menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang daripada Halimah di NUS, hari ini. Foto BERNAMA
DR Mahathir (kiri) menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang daripada Halimah di NUS, hari ini. Foto BERNAMA
Sharanjit Singh di Singapura


TUN Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang dan Anugerah Perkhidmatan Alumni Cemerlang daripada National University of Singapore (NUS), hari ini.

Ijazah berkenaan diterima Perdana Menteri sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau yang cemerlang serta sumbangannya dalam hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia.

Manakala, Dr Siti Hasmah pula menerima anugerah itu sebagai penghormatan kerana menjadi contoh serta perintis yang banyak memberi inspirasi kepada doktor wanita di Malaysia, selain mengiktiraf perkhidmatan dan sumbangannya dalam bidang kesihatan awam.

Dr Mahathir dan isterinya adalah alumni NUS yang dahulu dikenali sebagai Kolej Perubatan King Edward VII.

Majlis penganugerahan itu berlangsung dalam majlis khas di Kampus Kent Ridge, NUS yang turut dihadiri Presiden Singapura Halimah Yacob, yang juga Canselor universiti berkenaan.

Presiden NUS Professor Tan Eng Chye berkata, satu penghormatan dan kebanggaan kepada universiti berkenaan untuk meraikan pencapaian yang membanggakan pasangan terbabit.

“Dr Siti Hasmah adalah perintis yang menjadi contoh serta inspirasi kepada doktor wanita. Beliau juga pejuang unggul dalam memperjuangkan isu kesihatan awam.

“Pasangan hidupnya pula adalah seorang negarawan berkarisma dan berwawasan yang membentuk sejarah Malaysia serta rantau ini dalam pelbagai cara.

“Dalam tahun keemasan mereka, pasangan popular ini terus berkhidmat kepada negara dan masyarakat dengan dedikasi dan cemerlang,” katanya sambil menambah bahawa tenaga luar biasa pasangan itu dan kesan prestasi gabungan mereka juga menjadi inspirasi untuk komuniti NUS.

DR Siti Hasmah (kiri) menerima Anugerah Perkhidmatan Alumni Cemerlang daripada Pengerusi NUS Hsieh Fu Hua, hari ini. Foto BERNAMA
DR Siti Hasmah (kiri) menerima Anugerah Perkhidmatan Alumni Cemerlang daripada Pengerusi NUS Hsieh Fu Hua, hari ini. Foto BERNAMA

Dr Mahathir menjadi pelajar perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII dari 1947 hingga 1953.

Selepas tamat pengajian, beliau berkhidmat di pelbagai hospital kerajaan sebelum membuka Klinik MAHA yang menjadikan beliau sebagai anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di Alor Setar yang pada ketika itu.

Beliau kemudian terpilih sebagai Ahli Parlimen pada 1964 selepas menang pilihan raya di Parlimen Kota Setar.

Siti Hasmah yang mendaftar bersama Dr Mahathir di kolej itu, pula menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu pada tahun pengajian berkenaan.

Beliau lulus dalam pengajian pada 1955 dan kembali ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat di hospital awam.

Beliau mencipta beberapa pencapaian sepanjang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk menjadi wanita pertama di Malaysia yang dilantik sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak pada 1965.

Pada 1974, Dr Siti Hasmah menjadi doktor wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 5:25 PM