Joshua Eric


PERBUATAN menyebarkan isu atau pemasalahan setempat di laman sosial tidak mendatangkan sebarang manfaat, sebaliknya lebih baik maklumat itu disalurkan kepada wakil rakyat atau pusat khidmat bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha sebaik mungkin menyediakan kemudahan asas untuk rakyat, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Katanya, perkara itu sentiasa diberikan keutamaan oleh kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, khususnya membabitkan bekalan elektrik dan air bersih, selain infrastruktur perhubungan.

“Di Kampung Bayor misalnya, tular di laman sosial kononnya 22 keluarga berdepan masalah bekalan elektrik baru-baru ini tanpa pihak yang menyebarkan perkara itu mengetahui fakta sebenarnya.

“Ia tidak benar sama sekali kerana kemudahan asas seperti Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan air terawat sebenarnya sudah lama disediakan di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di Balai Ringin, semalam

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin berkata, kemudahan itu disediakan sejak 10 tahun lalu oleh kerajaan negeri.

“Bagaimanapun dakwaan mengenai ketiadaan elektrik bukan membabitkan semua penduduk kampung di situ, sebaliknya sebahagian daripada mereka.

“Mereka yang ketiadaan bekalan elektrik seperti yang didakwa dalam laman berkenaan adalah disebabkan kegagalan membayar bil bulanan hingga menyebabkan tindakan pemotongan oleh pihak berkaitan,” katanya.

Snowdan berkata, terdapat sebilangan keluarga di situ yang masih belum mendapat kemudahan BELB disebabkan oleh dua faktor iaitu pembinaan rumah baharu dan latar belakang keluarga penduduk yang didapati warga asing.

“Penduduk yang baharu menetap di Kampung Bayor dan masih belum mempunyai BELB dinasihat agar segera memohon kemudahan terbabit daripada pihak berwajib,” katanya.

Snowdan juga turut memberitahu bahawa kemudahan bekalan air terawat juga sudah disediakan oleh kerajaan terhadap penduduk yang tinggal di Kampung Bayor sebelum ini.

“Mereka yang tidak mempunyai bekalan air terawat itu juga berkait rapat dengan dua faktor berkenaan. Justeru, saya menasihati netizen agar menyiasat dahulu kisah sebenar yang berlaku di sebalik dakwaan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 12:01 PM