PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir. FOTO Arkib NSTP
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir. FOTO Arkib NSTP
Hidir Reduan dan Luqman Arif Abdul Karim


KONVENSYEN Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya akan ditandatangani selepas berunding dengan semua kaum di Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menyifatkan, latar belakang demografi Malaysia yang menyaksikan pelbagai lapisan kaum dan bangsa hidup bersama amat sensitif kepada perkara tertentu.

Sehubungan itu, katanya, langkah libat urus perlu dilaksanakan bagi mendapat persetujuan berhubung konvensyen berkenaan, sebelum kerajaan mencatur sebarang keputusan muktamad.

“Kita akan tanda tangan selepas kita runding dengan semua kaum di Malaysia, kerana perkara ini bukan mudah memandangkan negara ini ada pelbagai kaum.

“Masing-masing sensitif terhadap perkara-perkara tertentu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali sebagai Industri4WRD, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, pada Jumaat lalu dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Katanya, komitmen itu bukan hanya daripadanya sendiri, malah disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Manakala, hari ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai 10 peserta Himpunan Bantah ICERD ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantuan.

Ia antara lain bagi menzahirkan kebimbangan terhadap usaha menghapuskan hak Bumiputera dalam Perlembagaan Malaysia.

Berita berkaitan

Hadi Awang serah memorandum ICERD

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 1:05 PM