Anggota penguat kuasa memeriksa warga asing ketika melancarkan operasi bersepadu di sebuah tapak pembinaan di Kerteh. FOTO Rosli Ilham
Anggota penguat kuasa memeriksa warga asing ketika melancarkan operasi bersepadu di sebuah tapak pembinaan di Kerteh. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


SERAMAI 34 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu pelbagai jabatan yang diketuai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sebuah tapak pembinaan di kawasan industri Kerteh, Chukai, Kemaman, hari ini.

Pengurus CIDB Terengganu Siti Nor Sarah Mohd Rasid berkata, semua yang ditahan terdiri daripada 21 warga Bangladesh, Indonesia (enam), Myanmar (tiga), Pakistan (tiga) dan Nepal (seorang) berusia antara 22 hingga 40 tahun.

"Enam warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pas berada di Malaysia manakala 28 lagi ditahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dikeluarkan.

"Selain itu, CIDB turut mengeluarkan dua notis Meminta Maklumat Penyelia Tapak dan notis Akreditasi Pekerja Mahir dan Penyelia Tapak.

"Dalam operasi itu,kita turut memeriksa sebanyak 140 Kad Pendaftaran Personel Binaan yang dikeluarkan CIDB kepada pekerja industri.

"Hasil pemeriksaan mendapati semua pekerja memiliki kad terbabit tetapi pekerjaan binaan mahir dan penyelia tapak tidak diakreditasi," katanya

Siti Nor Sarah berkata, operasi bersepadu itu disertai 70 penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Akademi Binaan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Kemaman, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Jabatan Alam Sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 5:50 PM