Rumah teres dua tingkat  terbakar hingga merebak ke tiga unit kediaman lain di Persiaran Jelapang 12, Ipoh. - Foto NSTP/ABDULLAH YUSOF
Rumah teres dua tingkat terbakar hingga merebak ke tiga unit kediaman lain di Persiaran Jelapang 12, Ipoh. - Foto NSTP/ABDULLAH YUSOF
Shaarani Ismail

Gambar oleh Abdullah Yusof

SEORANG suri rumah bersama suami serta anak perempuannya berusia 19 tahun bergegas menyelamatkan diri selepas menyedari sebuah rumah dalam barisan rumah teres dua tingkat didiami terbakar, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, bahagian atas sebuah rumah teres di Persiaran Jelapang 12 di sini, musnah hingga merebak ke tiga unit kediaman lain.

Rosnah Japari, 57, berkata kediamannya turut terjejas dan mengalami kerosakan pada siling bilik di tingkat atas berikutan siling terpaksa dipecahkan bomba untuk mengawal kebakaran daripada merebak.

“Ketika kejadian saya baru nak bersiap menyediakan makan tengah hari, tetapi bergegas keluar selepas diberitahu suami bahawa rumah pertama pada baris kediaman kami terbakar.

“Pada mulanya kami hanya nampak asap, sebelum nampak api marak dan jiran di hadapan rumah bergegas menyuruh kami sekeluarga keluar bimbang api merebak ke rumah lain.

“Mujur ada jiran yang cepat menghubungi bomba dan kebakaran dapat dikawal daripada merebak,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, pemilik kediaman yang musnah terbakar, Phang Chee Ming, 67, berkata ketika kejadian dia, anak dan isteri tiada di rumah kerana bekerja.

Dia hanya dimaklumkan kejadian itu oleh seorang rakan yang bergegas mendapatkannya di tempat kerja memaklumkan rumahnya terbakar dan minta segera untuk pulang.

“Apa pun saya lega kerana ketika kejadian kami semua tiada di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Mohd Khairul Jamil berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.45 pagi dan tiba di lokasi jam 11.55 pagi.

Katanya, kebakaran dipercayai berpunca dari tingkat atas kediaman terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Beliau berkata, tiga jentera terbabit dalam operasi itu membabitkan anggota dari tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Meru Raya dan dibantu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Pasir Putih.

“Kediaman pertama musnah kira-kira 60 peratus terbakar, manakala rumah kedua kira-kira 40 peratus, manakala rumah ketiga dan keempat hanya mengalami kerosakan pada bahagian siling di tingkat atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 6:29 PM