Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM Shah Alam akan menganjurkan majlis pertemuan semula pada 27 Oktober ini. (Gambar kecil) Basree.
Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM Shah Alam akan menganjurkan majlis pertemuan semula pada 27 Oktober ini. (Gambar kecil) Basree.
Wan Jailani Razak


PERTEMUAN semula dengan mengumpulkan bekas penuntut Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan diadakan di Dewan Seri Hatinie, Seksyen 15, Shah Alam pada 27 Oktober depan.

Pemangku Presiden Alumni Masscomm UiTM Basree Rakijan berkata, majlis pertemuan bekas penuntut fakulti itu yang sebelum ini dikenali sebagai Kajian Sebaran Am (KSA) Institut Teknologi MARA (ITM) akan turut merai sidang pertama Masscomm 1972.

Katanya, pada majlis itu juga, pihaknya akan menyampaikan ‘Hall of Fame’ kepada empat bekas penuntut terpilih daripada bidang pengkhususan asas yang diperkenalkan ketika itu iaitu Kewartawanan, Penyiaran, Perhubungan Awam dan Periklanan.

“Penganjuran majlis ini bertujuan merapatkan kembali silaturahim dalam kalangan bekas penuntut yang sekian lama terpisah atas komitmen kerjaya masing-masing.

“Majlis ini bertujuan mengumpul seramai mungkin bekas alumni Masscomm bagi membantu mereka membina rangkaian dalam memudahkan urusan kerja,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Basree berkata, bekas pensyarah dan pensyarah KSA serta FKPM juga dijemput hadir sebagai menghargai jasa mereka dalam menyampaikan ilmu kepada penuntut sehingga berjaya bergelar graduan.

Katanya, terdapat antara bekas penuntut tidak lagi bersua muka selepas tamat pengajian, dan program itu secara tidak langsung mengeratkan semula hubungan silaturahim.

“Suka-duka belajar di Tingkat 13 atau lebih dikenali Level 13, Bangunan Menara sudah pasti menyimpan banyak nostalgia. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk bersama nanti,” katanya.

Sambil mengajak bekas penuntut mencari ruang untuk berbakti semula kepada pusat pengajian, katanya, pihak alumni sedang merangka beberapa program bagi manfaat bersama.

Mereka yang berminat untuk hadir boleh menghubungi Setiausaha Alumni Masscomm, Haniff Ghazali di talian 012-2167577 atau Penolong Setiausaha, Ziela Makrof (019-3830338).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 8:02 PM