FATIMAH (kanan) melakonkan semula kejadian dia diacukan pisau oleh lelaki yang  menceroboh kedai makannya di Kampung Santong, Paka, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham
FATIMAH (kanan) melakonkan semula kejadian dia diacukan pisau oleh lelaki yang menceroboh kedai makannya di Kampung Santong, Paka, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“AKU layan bukan main baik, macam ini mu balas. Mu makanlah pitih (duit) haram tu,” kata Fatimah Latih, 63, kepada empat lelaki yang menceroboh sebelum menyamun di kedai makannya di Kampung Santong, Paka, Dungun, semalam.

Kejadian jam 10.30 pagi itu menyebabkan dia dan pembantu kedai yang juga anak saudaranya, Hanisah Meehi, 36, mengalami kerugian lebih RM25,000 selepas wang tunai RM1,000, kereta, dua utas gelang tangan dan loket emas serta dua telefon bimbit dilarikan mereka.

Fatimah berkata, ketika kejadian, tiada pelanggan di kedainya sebelum empat lelaki yang menaiki Proton Wira Aeroback masuk ke premis itu.

“Dua lelaki berkenaan masing-masing mengacukan pisau di perut saya dan anak saudara serta menyuruh kami duduk sebelum seorang lagi mengambil wang tunai di atas meja.

“Dia (penyamun) juga mengambil dua utas gelang tangan yang dipakai anak saudara dan mengambil telefon kami,” katanya.

Katanya, dua lagi lelaki kemudian melarikan Perodua Viva milik anak saudaranya sebelum mereka melarikan diri.

“Dua daripada lelaki itu memang saya kenal, dan boleh dikatakan dua tiga kali seminggu datang ke kedai ini.

“Pagi hari kejadian dua lelaki itu dipercayai dalam keadaan mabuk dadah (lalok) datang ke kedai membeli empat bungkus nasi dan saya hadiahkan empat bungkus air kepadanya,” katanya.

Katanya, ketika dihunuskan pisau di perut, dia hanya terfikir untuk mati.

“Saya berdoa pada Allah supaya kami selamat dan bersyukur kami tidak cedera dalam kejadian itu sebelum ke balai polis membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Polis sedang memburu keempat-empat suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 6:53 PM