Mohd Hilmie Hussin

“SALAH faham,” dakwa EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee.

Beliau tampil membuat penafian terhadap dakwaan bertindak ala samseng ketika menyerbu sebuah stor yang disyaki menyimpan baja subsidi di Sungai Rambai, di Melaka, pada 29 Ogos lalu.

Katanya, ketika kejadian berlaku provokasi membabitkan antara beliau dan beberapa penduduk setempat yang melarangnya untuk membuka stor bagi Projek Beras Wangi Sungai Rambai itu.

“Berlaku provokasi antara saya dengan penduduk setempat apabila saya dihalang, dicerca dan dimaki hamun seolah-olah saya seperti budak-budak.

“Sedangkan saya seorang EXCO dan bertanggungjawab di atas apa yang berlaku. Mereka juga menggunakan kata-kata kesat terhadap saya,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, hari ini.

Turut hadir, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew dan EXCO Kesihatan negeri, Low Chee Leong.

Norhizam berkata, video berdurasi satu minit 36 saat membabitkan dirinya ditularkan beberapa individu di laman sosial selepas kejadian berkenaan sehingga mengundang kemarahan masyarakat, malah lebih teruk lagi apabila beliau dilabel sebagai ‘YB gangster’.

“Saya melontarkan pertanyaan ‘awak kenal siapa saya’ sebab mereka maki saya.

“Saya jelaskan, kalau tak kenal panggil ayah mereka jumpa dengan saya, jadi perkara itu tidak berlaku, malah terus berlaku provokasi, mereka keluar beramai-ramai dan maki hamun saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 7:51 PM