ABDUL Ghafaar (kiri atas) bertikam lidah dengan Norhizam di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. FOTO Khairunisah Lokman
ABDUL Ghafaar (kiri atas) bertikam lidah dengan Norhizam di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. FOTO Khairunisah Lokman
Nurul Fhatihah Zakinan dan Amir Mamat


SUASANA persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang berlangsung hari keempat, hari ini bertukar seperti ‘pasar borong’ berhubung isu babi hutan menyebabkan persidangan terpaksa ditangguhkan awal 14 minit sebelum sesi rehat.

Keadaan kecoh, lucu dan ‘panas’ bermula selepas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Datuk Norhizam Hassan Baktee menjawab soalan lisan Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan (BN-Asahan) dengan mengeluarkan kata-kata kesat.

Suasana semakin riuh apabila Datuk Gue Teck (PH-Klebang) membangkitkan bilakah operasi menembak babi hutan selesai sekali gus menyebabkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN mencelah dan mendakwa soalan tambahan berkenaan tiada kaitan dengan soalan asal.

Keadaan menjadi semakin panas apabila berlaku pertikaman lidah antara beliau dan Datuk Seri Idris Haron (BN- Sungai Udang) apabila ketua pembangkang negeri itu mendesak kerajaan negeri supaya lebih sensitif berhubung isu migrasi babi hutan dari Sumatera, Indonesia berikutan membabitkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.

“Masalah babi hutan ini sudah menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia apabila mereka (Indonesia) marah isu babi dikaitkan dengan mereka.

“Tengok ini Speaker, macam inikah cara EXCO kerajaan negeri menjawab soalan. Terang-terangan merendahkan taraf dewan Melaka,” katanya.

Norhizam yang terkenal dengan gelaran ‘YB Gengster’ bagaimanapun tetap mempertahankan dakwaan wujud migrasi haiwan liar itu dengan mendedahkan sebanyak 479 babi hutan berjaya ditembak dalam operasi yang dijalankan secara berkala, sejak Januari hingga Oktober ini.

Speaker DUN, Datuk Wira Omar Jaafar dalam selorohnya, turut mengisytiharkan Norhizam sebagai juara penembak babi berdasarkan pencapaiannya itu diikuti tepukan gemuruh sidang dewan.

“Saya isytiharkan YB memang juara penembak babi,” selorohnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 12:56 PM