GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Seorang lelaki yang terbabit dalam kes dadah ditahan atas cubaan menyogok seorang pegawai polis dengan menawarkan RM5,000 ketika disoal siasat di Balai Polis Paka di sini, kelmarin.

Terdahulu, pada kejadian jam 12 tengah hari, suspek berusia 40 tahun yang berada di hadapan sebuah bank di Pusat Niaga Paka di sini, terserempak dengan sepasukan anggota serta pegawai polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap suspek dan mendapati dia dikehendaki bagi membantu kes berkaitan dadah

"Suspek dibawa ke Balai Polis Paka untuk tindakan lanjut berkaitan dadah dan ketika berada di bilik soal siasat, suspek menawarkan RM5,000 kepada seorang pegawai supaya membebaskannya.

"Suspek mengeluarkan RM2,300 sebagai wang pendahuluan dan berjanji akan menyerahkan bakinya selepas dia dibebaskan," katanya dihubungi hari ini.

Menurut beliau, pegawai berkenaan memberi amaran yang suspek boleh ditangkap atas kesalahan rasuah namun suspek tetap menghulurkan wang berkenaan walaupun sudah diingatkan empat kali.

"Seorang anggota berpangkat sarjan yang turut berada di bilik berkenaan kemudiannya menahan suspek kerana cuba merasuah polis," katanya.

Menurut Baharudin, pihaknya merampas wang itu bersama dompet untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebelum kes dirujuk ke SPRM Cawangan Kemaman untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 3:43 PM