NADIA Khairunisa (kiri) bersama bapanya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
NADIA Khairunisa (kiri) bersama bapanya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


KEPAKARAN dan kemahiran gadis berusia 16 tahun dari Kampung Gemuroh, Tepoh, Kuala Nerus melapah lembu korban sudah tidak asing di kalangan penduduk setempat.

Malah, Nadia Khairunisa Yusof turut menjadi inspirasi kepada remaja lelaki di kampung itu untuk terbabit dalam aktiviti berkenaan yang lazimnya dimonopoli kaum lelaki dan golongan dewasa.

Nadia Khairunisa berkata, dia mula mempelajari teknik melapah ternakan sejak berusia 12 tahun selepas sering mengikuti bapanya, Yusof Mohamad, 46, pada setiap Aidiladha.

“Saya sudah biasa bergelumang dengan darah dan najis haiwan ketika menguruskan haiwan korban, justeru tidak berdepan sebarang masalah untuk membantu bapa melapah daging.

“Kadangkala segan juga kerana menjadi perhatian orang ramai ketika melapah daging, tetapi perlu mengenepikan perasaan itu untuk memastikan tugasan yang dipertanggungjawabkan ditunaikan sebaik mungkin.

“Saya juga gembira kerana menjadi inspirasi kepada rakan sebaya di kampung terutama remaja lelaki dan mereka tercabar dengan kebolehan saya, sekali gus mendorong mereka mempelajari dan terbabit dalam aktiviti itu,” katanya ketika ditemui pada majlis korban di Kampung Gemuroh, hari ini.

Katanya, membersihkan perut lembu menjadi tugas paling mencabar ketika melapah ternakan kerana ia pasti tidak dapat dilakukan dengan baik jika tidak tahan dengan bau busuk najis.

NADIA Khairunisa melapah lembu pada program korban. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
NADIA Khairunisa melapah lembu pada program korban. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Sementara itu, Yusof berkata, dia sedia maklum minat anak gadisnya dan berbangga dengan kebolehan semulajadi Nadia Khairunisa sekali gus memberi pendedahan kepadanya sejak kecil.

Katanya, selain anaknya, dia juga menubuhkan pasukan melapah yang terdiri daripada golongan muda berusia 13 hingga 20 tahun untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk kampung ketika ibadah korban dijalankan.

“Saya mempunyai lebih 50 anak didik yang bersilih ganti sejak menubuhkan kumpulan 'Gemuroh Feedlot' sejak 20 tahun lalu.

“Seramai 20 ahli kumpulan aktif pada tahun ini dan memberikan perkhidmatan melapah ternakan korban di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Ukhwah Darul Iman (BUDI) Losong Zul Fadzli Hassan berkata, tiada larangan untuk wanita turut sama dalam aktiviti melapah atau menyembelih ternakan walaupun aktiviti itu dipelopori kaum lelaki di negara ini.

“Saya sendiri tidak pernah berjumpa wanita apatah lagi remaja perempuan yang terbabit dan berkebolehan melapah ternakan dan jika ada ia pastinya menjadi tumpuan.

“Cuma yang perlu ditekankan ialah adat dan batas yang perlu dijaga seorang pelapah wanita dalam menguruskan haiwan korban terutama daripada aspek berpakaian yang perlu sopan dan tidak mencolok mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 10:19 PM