Nur Izzati Mohamad


ISTERI kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazri Hassan perlu menyerahkan siasatan berhubung kematian suaminya kepada pihak polis daripada menyalahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ini kerana JBPM sudah memberi penjelasan melalui surat yang dibalas kepada isteri arwah, minggu lalu dan kini siasatan diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis memandangkan ia kes berprofil tinggi.

Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata, berikutan itu pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai laporan siasatan itu sama ada kepada keluarga mangsa mahupun orang ramai.

“Penyiasatan yang dijalankan JBPM berhubung kes ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan tidak seperti yang didakwa isteri arwah apabila dilihat cuba mencari kesalahan agensi (JBPM) ini.

“Kita menyiasat kes ini secara terperinci bahkan menggunakan khidmat pasukan Unit K9 iaitu anjing terlatih untuk mencari bukti dan mustahil anjing itu menipu. Jadi dakwaan isteri arwah itu adalah tidak benar apatah lagi kes suaminya disifatkan berprofil tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Samirah Muzaffar, yang mendakwa JBPM tidak telus dalam siasatan kes kematian suaminya dengan menyatakan dakwaan agensi penyelamat berkenaan berhubung kes itu tidak benar.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes itu atas nasihat pakar undang-undang.

“Kes ini menjadi SOP pihak JBPM jika sesuatu hasil siasatan itu nampak luar biasa dan terdapat unsur jenayah, maka ia akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Kita juga tidak berhasrat untuk menjawab semua tuduhan isteri arwah dan berdebat dengannya melalui media kerana kita sudah pun jawab dengan membalas surat rasmi yang dihantar kepada pihak kita sebelum ini,” katanya.

Dalam kejadian 14 Jun lalu, Nazrin ditemui meninggal dunia dipercayai terhidu asap selepas berlaku kebakaran di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara.

Punca kejadian itu pada mulanya dikatakan akibat telefon bimbitnya meletup ketika mengecas, namun kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 3 Ogos lalu.

Berita berkaitan

Isteri CEO Cradle Fund bidas JBPM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 3:14 PM