MOHAMAD Fuzi ketika sidang media selepas majlis pelancaran Kursus Komunikasi Profesional di Maktab Polis Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
MOHAMAD Fuzi ketika sidang media selepas majlis pelancaran Kursus Komunikasi Profesional di Maktab Polis Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Mohd Azam Shah Yaacob


BEBERAPA Ketua Polis Daerah (OCPD) akan dipindahkan ekoran kegagalan menangani masalah perjudian haram di kawasan pentadbiran mereka.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau memandang serius mengenai isu perjudian yang masih lagi wujud dan arahan pertukaran terhadap pegawai berkenaan sudah pun dikeluarkan.

Katanya, beliau sendiri akan turun padang menggempurkan premis judi yang dikenal pasti jika terdapat keperluan.

“Polis memandang serius masalah judi haram dan akan mengambil tindakan serta-merta bagi membanterasnya. Jadi, selepas ini juga akan ada lagi Ketua Polis Daerah yang akan ditukar.

“Malah, jika ada keperluan, saya sendiri akan turun padang menyerbu premis perjudian haram berkenaan berdasarkan maklumat yang ada,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan kursus Kursus Komunikasi Professional di Maktab Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk T Narenasagaran.

Mohamad Fuzi berkata, komitmen PDRM membanteras aktiviti perjudian haram boleh dilihat dengan pembukaan Bilik Gerakan Khas di setiap negeri pada 20 Julai lalu bagi membolehkan orang ramai menyalur maklumat berhubung aktiviti perjudian.

Namun, beliau berkata, setakat minggu lalu, PDRM hanya menerima 173 aduan sahaja.

“Setakat minggu lalu, kita terima 173 maklumat di seluruh negara, tetapi sambutan (aduan) di Kuala Lumpur agak dingin biarpun isu itu hangat diperkatakan di kawasan ini serta di Lembah Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 3:34 PM