PUSAT perjudian komputer yang diserbu polis.
PUSAT perjudian komputer yang diserbu polis.
Nor Azizah Mokhtar


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka bilik gerakan khas di setiap kontinjen negeri seluruh negara bagi memudahkan masyarakat menyalurkan maklumat secara terus berhubung kegiatan perjudian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, usaha itu sebagai langkah tambahan PDRM untuk menerima aduan daripada orang awam berhubung kegiatan perjudian yang berlaku di sekeliling mereka.

“Aktiviti perjudian bukan saja membelenggu masyarakat, malah ia turut mengundang persepsi seolah-olah PDRM adalah satu-satunya agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menangani gejala itu.

“Apa yang jelas, PDRM berhadapan dengan pelbagai cabaran memerangi gejala judi khususnya judi dalam talian (online) kerana ia membabitkan pelayan komputer (server) yang berada di luar negara dan kewujudan aplikasi perjudian di telefon bimbit. Ini menyulitkan tindakan penguat kuasaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya masyarakat turut boleh membantu pihak berkuasa memerangi gejala itu dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan perjudian ke talian disediakan di setiap bilik gerakan khas di setiap kontinjen polis negeri seluruh negara.

“PDRM akan mempertingkatkan tindakan secara bersepadu dengan pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan Agama Islam dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kesemua mereka mempunyai peranan penting dalam menangani isu judi serta memastikan kemelut itu dapat dibendung dengan lebih berkesan ,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, seramai 34 orang diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 berkait kesalahan judi dalam talian, loteri haram, bookie dan judi di tempat bebas/dalam bangunan, sepanjang tahun lalu.

“Bagi tempoh antara Januari sehingga 20 Julai lalu pula, seramai 32 orang ditahan mengikut akta sama berhubung pelbagai kesalahan berkaitan judi.

“Secara keseluruhan, seramai 176 orang sudah diambil tindakan mengikut akta berkenaan sejak POCA diperkenalkan pada 2 April 2014,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh antara Januari sehingga Jun lalu, sebanyak 2,158 serbuan dilakukan ke atas premis perjudian komputer di seluruh negara membabitkan 6,168 tangkapan dan rampasan 16,345 mesin judi, berbanding keseluruhan 4,946 serbuan, 10,846 tangkapan dan 60,010 rampasan sepanjang tahun lalu.

Katanya, pihaknya memandang berat dakwaan pelbagai pihak mempertikaikan kesungguhan dan keberkesanan tindakan pihak berkuasa dalam menangani gejala perjudian sedangkan PDRM amat komited dalam menangani isu itu.

Nombor telefon Bilik Gerakan Khas mengikut kontinjen negeri:

1. Perlis: 04-9082273

2. Kedah: 04-7741379

3. Pulau Pinang: 04-2221722

4. Perak: 05-2451222

5. Selangor: 03-55145168

6. Negeri Sembilan: 06-7682340

7. Melaka: 06-2854222

8. Johor: 07-2254422

9. Kelantan: 09-7455636

10. Terengganu: 09-6354814

11. Pahang: 09-5052269

12. Sabah: 088-454851

13. Sarawak: 082-274213

14. Kuala Lumpur: 03-21460670

15. Bukit Aman: 03-22666261

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 10:35 PM