LOKASI stor berkenaan. FOTO Ihsan TV3
LOKASI stor berkenaan. FOTO Ihsan TV3
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


POLIS sudah menahan lima suspek dan menjejaki lima lagi individu berhubung kehilangan 60 kotak mengandungi dadah di stor penyimpanan barang kes Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kampung Jijan, Nilai, kelmarin.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, dua daripada lima individu yang masih bebas itu dikenal pasti sebagai Tong Lip Seong, 30 dan Tung Seong Leong, 30, masing-masing dari Bukit Pelanduk, Port Dickson.

Katanya, pada kejadian 3 pagi kelmarin, pihaknya menerima laporan daripada dua pengawal keselamatan bertugas mengatakan dirompak 10 lelaki yang memecahkan sebuah kontena di pejabat itu.

“Hasil siasatan dijalankan, polis menahan dua pegawai kastam berusia 24 dan 25 tahun serta dua pengawal berusia 52 dan 61 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di Seremban, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut menahan lelaki berusia 30-an sebelum pihaknya merampas ketamin seberat 48.32 gram, alat timbang, tujuh telefon bimbit, dua kereta dan wang tunai berjumlah RM58, 973.

“Siasatan mendapati dua kontena dari Pakistan tiba di Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Mei lalu sebelum pemeriksaan dibuat kastam 7 Jun lalu menemui 650 kotak mengandungi 144 paket inai.

“Dalam kotak terbabit mengandungi ketamin dan heroin menyebabkan dua kontena berkenaan disita di Stor Narkotik JKDM pada 18 Julai lalu, sebelum dilaporkan hilang kelmarin,” katanya.

Noor Azam berkata, pihaknya sedang melakukan gerakan memburu lima individu yang masih bebas itu bagi menyelesaikan kes yang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkawan.

Menurutnya, daripada 60 kotak yang hilang ada kotak yang mengandungi dadah dan juga hanya mengandungi inai.

“Pihak polis masih menyiasat jumlah sebenar dadah yang hilang beserta jumlah kerugian. Berdasarkan harga semasa, satu kilogram heroin adalah RM162,000 dan satu kilogram ketamin bernilai RM52,000,” katanya memaklumkan setiap kotak mengandungi 7.2 kilogram dadah dan inai.

Dalam apda itu, Noor Azam berkata bukan 10 individu memecah masuk premis berkenaan sebaliknya hanya tujuh individu.

‘Siasatan awal mendapati kumpulan ini mengambil kesempatan sebaik mengetahui dadah disimpan di stor terbabit. Dadah dipercayai diedarkan kepada kumpulan tertentu,” katanya siasatan lanjut masih diteruskan.

Akhbar semalam melaporkan, sekumpulan lelaki bertopeng yang menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta meluru masuk ke pondok pengawal keselamatan sebelum membelasah seorang daripada dua pengawal bertugas.

Pengawal keselamatan terbabit dipukul menggunakan kayu menyebabkan dia cedera di kepala, kaki dan tangan sebelum mangsa dan seorang lagi pengawal keselamatan diikat kaki, tangan dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Penjenayah dikatakan memecahkan satu daripada 10 kontena sebelum melarikan sejumlah kotak barangan dipercayai dadah.

Berita berkaitan:

Dua pegawai kastam antara lima ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 1:03 PM