SEBAHAGIAN daripada jemaah haji menggunakan khidmat agensi pelancongan. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
SEBAHAGIAN daripada jemaah haji menggunakan khidmat agensi pelancongan. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Tuan Asri Tuan Hussein


SERAMAI 6,404 jemaah menggunakan khidmat agensi pelancongan untuk menunaikan ibadat haji tahun ini dengan bayaran paling minimum RM26,500 dan paling mahal RM177,000.

Bayaran RM177,000 itu dikenakan kepada jemaah pakej khas muassasah yang menawarkan lokasi khemah berdekatan tempat melontar di kompleks jamrah.

Pengurus Operasi Pengelola Jemaah Haji Tabung Haji (TH) Mat Admara Alang Aziz berkata, seramai 1,785 jemaah menunaikan haji menggunakan pakej khas itu.

“Tahun ini 20 agensi diberi lesen oleh TH untuk menguruskan pakej haji dan jumlah itu hanya satu pertambahan, berbanding 19 agensi tahun lalu," katanya kepada media Malaysia di pusat operasi TH di Hotel Abraj Al-Janadriyah di Makkah.

Menurutnya, harga dikenakan agensi bergantung kepada jenis dan jarak hotel dengan masjid, makanan dan khemah disediakan di Arafah dan Mina, selain jarak khemah dengan tempat melontar di kompleks jamrah.

MAD Admara. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
MAD Admara. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein

Hasil pemantauan dan sistem penilaian sistematik oleh TH, jumlah agensi yang culas atau gagal memberikan perkhidmatan dijanjikan kini semakin berkurang.

“Dulu ada lebih 30 agensi yang diberi lesen. Apabila ada yang melakukan kesalahan serius, kita tak sambung lesen mereka untuk tahun berikutnya. Mengikut peraturan, mereka wajib memperbaharui lesen setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, antara kesalahan dilakukan ialah menempatkan jumlah jemaah di dalam bilik hotel lebih daripada sepatutnya dan jarak hotel dengan Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, lebih jauh daripada yang dinyatakan di dalam risalah.

“Risalah yang dikeluarkan agensi menjadi garis panduan kepada kita. Pernah berlaku, agensi menjanjikan tiga jemaah dalam satu bilik hotel tapi mereka sumbat sampai tujuh orang hingga ada yang tidur di atas lantai.

“Satu lagi kes, mereka tulis dalam risalah jarak hotel 300 meter dari masjid tapi bila kita ukur selepas dapat aduan jarak sebenar ialah 800 meter,” katanya.

Mat Admara berkata, TH menggunakan skema untuk penilaian dan pemarkahan (SUPP) yang mewajibkan agensi memperoleh markah tidak kurang daripada 80 peratus.

“Setakat ini, agensi yang kita batalkan lesen belum ada yang disambung semula," katanya.

Pihaknya berpuas hati dengan perkhidmatan 20 agensi yang diberi lesen untuk membawa jemaah haji tahun ini dan belum ada aduan diterima.

Menurutnya, orang ramai yang ingin menggunakan khidmat agensi bagi mengerjakan haji tahun depan dinasihatkan merujuk senarai agensi terpilih yang bakal dikeluarkan TH.

Senarai itu kebiasaannya dikeluarkan tiga bulan selepas tamat operasi haji dan ia akan diiklankan di akhbar, selain dipaparkan di laman web dan semua pejabat TH daerah di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 2:22 PM