Mohd Husni Mohd Noor dan Safeek Affendy Razali


SURUHANJAYA Tinggi Malaysia di New Delhi, India mengesahkan laporan berhubung kematian seorang rakyat Malaysia di Kabul, Afganistan.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, mangsa yang bekerja di Kabul diculik bersama dua warga asing lain, awal minggu ini.

“Mayat mangsa ditemui di Mussahi iaitu 33 kilometer (km) selatan Kabul pada Khamis (hari ini),” katanya.

Katanya, buat masa ini, tiada kumpulan bertanggungjawab di atas insiden berkenaan.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Afganistan untuk mendapatkan perkembangan terbaru mengenai insiden itu termasuk menuntut mayat rakyat Malaysia berkenaan.

Sementara itu, laporan Reuters yang memetik kenyataan jurucakap Ketua Polis Kabul, Hashmat Stanekzai berkata, mangsa, 64, yang juga tukang masak keluar bersama dua rakan sekerja yang juga warga India dan Macedonia, yang turut dilaporkan dibunuh.

Mereka keluar bekerja menaiki sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang rakyat tempatan sebelum dilaporkan diculik.

Pihak polis Kabul, bagaimanapun mengesahkan sudah menemui mayat ketiga-tiga mangsa dengan kesan cedera parah akibat diseksa, hari ini.

Difahamkan, Kementerian Luar Negeri akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat, hari ini.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan pengesahan identiti mangsa daripada syarikat Sodexo Malaysia di Petaling Jaya, gagal selepas Bahagian Sumber Manusia dan Korporat syarikat berkenaan tidak berjawab.

Berita berkaitan

Rakyat kita dibunuh di Kabul

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 7:16 PM