Suhaila Shahrul Annuar


KEMENTERIAN Luar Negeri memaklumkan bahawa pihak berkuasa Afghanistan sudah mengesahkan identiti warga Malaysia yang ditemui mati di Kabul, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar Negeri memaklumkan pihak majikan mangsa, Sodexo iaitu syarikat Perancis yang berpangkalan di Afghanistan sudah memaklumkan perkara itu kepada anak beliau yang menetap di Filipina.

Selain itu, kenyataan itu turut menyebut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India sedang bekerjasama rapat dengan pihak majikan mangsa bagi menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

“Kementerian Luar Negeri menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa atas pemergian beliau," katanya.

Semalam, Kementerian Luar Negeri memaklumkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi mengesahkan rakyat Malaysia yang dibunuh di Kabul, Afghanistan, sebelum itu diculik bersama dua rakan sekerjanya awal minggu ini.

Mayat ketiga-tiga mereka ditemui di Mussahi, yang terletak dalam jarak 33 kilometer (km) dari selatan Kabul, semalam.

Menurut laporan Reuters, yang memetik kenyataan jurucakap Ketua Polis Kabul, Hashmat Stanekzai, tukang masak Malaysia berusia 64 tahun itu keluar bersama dua lagi rakan sekerjanya warga India dan Macedonia, yang turut dilaporkan dibunuh.

Mereka menaiki sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang rakyat tempatan, sebelum dilaporkan diculik.

Berita berkaitan:

Rakyat kita dibunuh di Kabul

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 5:40 PM