Rakyat Australia, Timothy Weekes (kiri) dan rakyat Amerika, Kevin King yang diculik Taliban. - Foto Agensi
Rakyat Australia, Timothy Weekes (kiri) dan rakyat Amerika, Kevin King yang diculik Taliban. - Foto Agensi

Kabul: Taliban menyiarkan rakaman video hari ini, menunjukkan rakyat Amerika Syarikat dan Australia yang diculik di Afghanistan, Ogos lalu, penampilan media pertama kedua-dua mangsa sejak diculik.

Rakyat Amerika dikenali sebagai Kevin King dan rakyat Australia, Timothy Weekes, diculik dekat Universiti Afghanistan di Kabul, tempat mereka bekerja sebagai pensyarah.

Dalam rakaman itu, mereka dipaksa merayu kepada bakal Presiden Amerika, Donald Trump, supaya menyelamatkan nyawa mereka sebagai pertukaran pembebasan tahanan di penjara Pul-e-Charkhi dan Pangkalan Udara Bagram, Afghanistan.

Jika Trump enggan berunding, kedua-dua mereka akan dibunuh.

Rakaman video itu yang dihantar kepada media oleh jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid. Kedua-dua mangsa menyatakan mereka bercakap dalam rakaman itu pada 1 Januari lalu

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Mark Toner, berkata pihaknya akan mengkaji rakaman itu sebelum mengesahkan kesahihannya.

Kementerian Luar Australia mengeluarkan kenyataan menyatakan kerajaan negara itu bekerjasama rapat dengan negara lain bagi pembebasan rakyatnya itu.

Trump akan memulakan tugasnya sebagai Presiden Amerika mulai 20 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 5:39 PM