TERTUDUH dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Nazirul Roselan
TERTUDUH dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Nazirul Roselan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SUAMI isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh, hari ini, terhadap lima tuduhan menipu dan bersubahat membabitkan pembayaran pakej umrah berjumlah RM53,224, pada tahun lalu.

Tertuduh, Ishak Abu Hassan, 40, dan isteri keduanya, Elmirushuda Amerudi, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ti Pei Si.

Berdasarkan pertuduhan, Ishak Abu Hassan, 40, didakwa memperdaya tiga wanita untuk membuat lima pembayaran secara tunai membabitkan pakej umrah yang dipersetujui di Balairaya FELDA Lakum, Lanchang dan Sekolah Agama Rakyat Felda Lakum, Lanchang, dekat Temerloh.

Dia yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor didakwa melakukan kesalahan itu sekitar Mei hingga Julai 2017.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Elmirushuda pula didakwa bersubahat dengan suaminya berhubung lima pertuduhan berkenaan.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, M Sutakar meminta mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap mereka.

Bagaimanapun, peguam, M Varuchelvam meminta mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan Ishak mempunyai dua isteri dan tiga anak selain perlu menjaga ibu bapa yang sudah tua, sementara Elmirushuda adalah suri rumah dan tidak mempunyai pendapatan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan yang dikenakan ke atas pasangan itu

Selain itu, syarat tambahan yang mana pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran, pada setiap 10 hari bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 2:45 PM