PENAGIH yang ditahan dalam Op Cegah. FOTO ihsan AADK
PENAGIH yang ditahan dalam Op Cegah. FOTO ihsan AADK
Junaidi Ladjana


IBU berusia 19 tahun antara 10 individu ditahan dalam Op Cegah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di beberapa lokasi di Keningau, hari ini.

Wanita dua anak itu ditahan di kedai menjual telefon bimbit dan saringan awal air kencing mendapati dia positif syabu.

Ketika disoal siasat, wanita itu mengaku kerap mengambil dadah bersama rakan penagih lain.

Dia turut mengaku syabu yang dibeli hasil kutipan wang daripada rakan penagihnya.

Ketua Operasi AADK Keningau Azry Golbin@Azmi berkata, individu terbabit ditahan kerana disyaki penagih dalam operasi bermula 11 malam dan berakhir kira-kira 1 pagi hari ini.

“Semua suspek berusia 18 hingga 50 tahun ditahan di lokasi berlainan. Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkannya dengan menghubungi AADK Keningau di talian 088 339886 atau ke pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 12:38 PM