Mohamad ceria bersama Lokman (kanan) selepas majlis pengenalan calon. FOTO Osman Adnan
Mohamad ceria bersama Lokman (kanan) selepas majlis pengenalan calon. FOTO Osman Adnan
Dawn Chan dan Khairul Azran Hussin


UMNO diibaratkan kembali menjadi ‘kain putih’ selepas mengalami kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin serta ahli parti untuk ‘pandai-pandai’ membawa diri serta berhenti melakukan perkara yang boleh membuatkan rakyat marah.

“Bersatulah kita, berpakatlah kita, kita kena sama-sama membantu. Yakinlah kejatuhan UMNO berhikmah. Kita belajar dari kekalahan ini.

“Memang benar ‘nasi sudah menjadi bubur’. Namun ia bukan pengakhiran kepada kita. UMNO sudah merangka strategi di peringkat pusat serta di peringkat bawahan,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pengenalan Calon dan Penyerahan Anak Angkat Bahagian di Command Center Barisan Nasional (BN) Sungai Kandis di Shah Alam, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri; Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad; Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan dan Naib Ketua Pemuda, Shahril Sufian.

Dalam pada itu, Mohamad meminta semua ahli UMNO berhenti mempersoalkan keputusan parti meletakkan calon pada PRK Sungai Kandis.

“Berhenti menyoal kenapa kita memutuskan untuk bertanding. Kita tidak mahu rakyat melihat UMNO hilang selepas kalah PRU-14.

“Selain itu, kepimpinan tertinggi parti melihat pertandingan dalam PRK adalah pentas terbaik untuk melatih jentera parti sebagai pembangkang.

“Kalau bukan sekarang kita bersiap siaga pada PRU-15, bila lagi? Kita kena bersedia dari sekarang untuk bertanding pada PRU-15,” katanya.

Tiga calon bakal berentap dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Calon BN Datuk Lokman Noor Adam, 45, dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, bakal berentap dalam pertandingan tiga penjuru bersama-sama seorang calon Bebas, pesara kerajaan berusia 60 tahun, K Murthy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:03 AM