NORAZAM menyerahkan bantuan kepada lebih 500 masyarakat muslim di Kampung Melayu, Batu 8, Sandakan. FOTO Hazshah Abdul Rahman
NORAZAM menyerahkan bantuan kepada lebih 500 masyarakat muslim di Kampung Melayu, Batu 8, Sandakan. FOTO Hazshah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


DUA puluh pelajar madrasah dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil memberi bantuan kepada lebih 500 penduduk miskin dan kurang berkemampuan di Kampung Melayu, Batu 8, Sandakan, semalam.

Kampung itu terletak berdekatan pusat pelupusan sampah dan ada antara penduduk kampung terbabit menjadikannya sebagai tempat mencari rezeki dengan memgumpul barangan kitar semula untuk dijual.

Pengerusi Madrasah Darus Sunnah (MADS), Norazam Hashimudin, 22, berkata, pihaknya hanya menyampaikan dana diterima daripada orang awam menerusi kerja amal anjuran madrasah berkenaan.

"Kami terima dana daripada pemberi sumbangan kemudian kami salurkan. Alhamdulillah, mereka percaya kepada kami.

"Kebanyakan dana diterima daripada orang Semenanjung kerana saya belajar di sana. Lagipun tidak perlu membuat kertas kerja. Kami kongsi maklumat dengan yakin mereka berikan dana.

"Ribuan ringgit mereka salurkan. Antaranya untuk program hari ini. Kami belikan makanan ringan, minuman dan beras serta ada juga pakaian," katanya ketika ditemui selepas aktiviti berkenaan, semalam.

Norazam berkata, pelajar MADS yang kebanyakannya berusia lingkungan 20-an terpanggil melakukan kerja amal seperti itu kerana minat dan suka apabila dapat membantu orang ramai seperti mereka yang memerlukan makanan.

"Kami juga pernah melalui kesukaran dalam hidup yang akhirnya mengajar kami erti membantu orang lain yang dalam kepayahan," katanya.

Dia berkata, pihaknya turut menjalankan program membina madrasah dan meneruskan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Sementara itu, dua beradik kembar yang turut menerima bantuan berkenaan berasa gembira selepas mendapat minuman kotak.

Bayu, 7, dan adik kembarnya, Ungas kelihatan terus meminum minuman kotak yang diberikan dan mencuba pakaian yang disumbangkan.

"Kami tidak sekolah, tiada dokumen. Kami berjalan-jalan saja di sini mencari sampah dan selepas dijual, baru kami beli makanan.

"Bagus kalau ada orang datang bagi makanan, dapatlah kami makan," katanya.

Katanya, dia yang memiliki lapan adik-beradik semuanya tidak bersekolah dan mencari bahan buangan di tempat pembuangan sampah sebagai sumber pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 12:50 PM