KEBAKARAN memusnahkan 50 rumah papan yang mengakibatkan lebih 200 penduduk hilang tempat tinggal di Kampung Sarip, Lahad Datu, hari ini. FOTO ihsan bomba.
KEBAKARAN memusnahkan 50 rumah papan yang mengakibatkan lebih 200 penduduk hilang tempat tinggal di Kampung Sarip, Lahad Datu, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Norasikin Daineh


KIRA-KIRA 50 rumah papan musnah dalam kebakaran mengakibatkan lebih 200 penghuni hilang tempat tinggal dalam kejadian di Kampung Sarip, Lahad Datu, awal pagi hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian bermula 1 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan cedera.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.06 pagi.

Katanya, sebanyak tiga jentera bersama 12 anggota dikejar ke lokasi yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai bomba.

“Menurut ketua operasi, kebakaran berlaku di perkampungan setinggan dan membabitkan 50 rumah tidak kekal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khatizah berkata, usaha memadamkan kebakaran segera dilakukan sebelum api berjaya dikawal pada 2.16 pagi.

“Operasi hanya ditamatkan pada 6.01 pagi dan hasil pemeriksaan, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Difahamkan, punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan, manakala jumlah sebenar keluarga yang terjejas belum dapat dipastikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 9:31 AM