SHUKRI ketika sidang media di Putrajaya. FOTO/MOHD FADLI HAMZAH
SHUKRI ketika sidang media di Putrajaya. FOTO/MOHD FADLI HAMZAH
Wartawan NSTP


KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan Datuk Seri Najib Razak hanya dipanggil hari ini untuk melengkapkan siasatan bukan untuk ditangkap.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu hanya dipanggil untuk melengkapkan proses siasatan kes SRC International.

“Kami ada menerima bukti baru. Jadi beliau (Najib) dipanggil untuk direkodkan keterangan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ditanya sama ada ada individu lain dipanggil untuk memberi keterangan kes sama, Mohd Shukri berkata, untuk hari ini, hanya Najib dipanggil memberi keterangan.

“Kami kini sedang mengesan seorang atau dua lagi untuk memberi keterangan berhubung kes sama.

“Selepas keterangan mereka diambil baru kami putuskan tindakan selanjutnya," katanya.

Ditanya sama ada Najib turut dikaitkan dengan kes derma RM2.6 bilion, Mohd Shukri berkata, kes siasatan berkenaan dikendalikan oleh Pasukan Khas Siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurutnya, buat masa ini, SPRM hanya menyiasat kes SRC International sahaja.

Sementara itu BERNAMA melaporkan, proses mengambil keterangan Najib dipercayai masih berlangsung selepas satu jam beliau tampil.

Seorang pegawai SPRM mengesahkan Ahli Parlimen Pekan itu masih berada dalam bangunan berkenaan dan belum selesai memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Pagi tadi, Najib yang tiba di perkarangan bangunan SPRM diserbu pengamal media tempatan dan antarabangsa yang telah menunggu seawal pukul 8 pagi tadi bagi membuat liputan kes yang melibatkan bekas perdana menteri itu.

Pada Jumaat lepas, SPRM telah menyerahkan notis meminta Najib hadir untuk memberi keterangan selepas suruhanjaya berkenaan membuka semula siasatan kes aliran wang dari SRC International iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 12:56 PM