SHUKRI Abdul Hamid melihat keadaan siling rumahnya yang bocor selepas sebahagian bumbung rumahnya di terbangkan angin akibat ribut di Kampung Pondok Labu Keladi, Kulim. FOTO Azahar Hashim
SHUKRI Abdul Hamid melihat keadaan siling rumahnya yang bocor selepas sebahagian bumbung rumahnya di terbangkan angin akibat ribut di Kampung Pondok Labu Keladi, Kulim. FOTO Azahar Hashim
Zuliaty Zulkiffli


SERAMAI 89 keluarga dari 89 kampung di tujuh daerah di Kedah terbabit dalam kejadian ribut menyebabkan kediaman mereka mengalami kerosakan.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Azmi Abd Karim berkata, 102 mangsa yang terbabit, namun mereka tidak berpindah atau mengalami kecederaan akibat kejadian itu.

Beliau berkata, di Kota Setar, antara kampung yang terbabit adalah Kampung Alor Goncar, Kampung Kota Rentang, Kampung Gelong Air, Pumpong, Taman Wira Mergong, Kampung Padang Jambu, Hutan Kampung, Telaga Mas, Langgar dan Kuala Kedah yang membabitkan 25 keluarga.

“Di Padang Terap, antara kampung terbabit adalah di Kampung Tanjung Kiri di Mukim Padang Terap Kanan, Kampung Banggol Sembilan di Mukim Batang Tunggang Kanan, Kampung Dalam di Mukim Kurung Hitam dan Kampung Belukar yang membabitkan empat keluarga.

“Selain itu di Langkawi pula, seramai 30 keluarga terbabit dalam kejadian ribut antaranya di kampung KEDA, Behor Merah, Nyiur Cabang, Lubuk Setol, Kampung Bawah dan Kampung Padang Putih.

“Sementara di Pendang pula, kampung terbabit adalah di Kampung Alor Pering (Mukim Guar Kepayang), Kampung 30 Tokai (Mukim Bukit Raya membabitkan dua keluarga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Azmi berkata, selain itu, sebuah rumah membabitkan satu keluarga yang terbabit dalam ribut dilaporkan berlaku di Kampung Sungai Pau di Sik manakala di Kubang Pasu pula membabitkan 11 rumah di 11 kampung iaitu di Jitra, Tunjang, Kodiang dan Changlun.

Beliau berkata, daerah Kulim pula membabitkan sembilan kawasan yang terdiri dari 15 keluarga membabitkan 51 mangsa.

“Bagi daerah Padang Terap dan Langkawi, semua mangsa sudah dibayar Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM100, RM150, RM200 hingga RM300 berdasarkan kerosakan yang dialami selain kit bencana serta bantuan dari pejabat zakat daerah masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 1:06 AM