Zanariah Abd Mutalib


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memulakan siasatan dalaman bagi mengenal pasti pegawai yang terbabit dalam dakwaan penyelewengan kontrak perbekalan panel tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beliau mengetahui mengenai beberapa kepincangan dalam projek bernilai lebih RM1 bilion itu pada awal minggu lalu sebelum berita mengenainya tersebar, baru-baru ini melalui gambar dan dokumen berkaitan yang tular di Internet.

“Saya dimaklumkan terdapat beberapa masalah mengenai isu pemberian kontrak dan mungkin wujud isu ketidakpatuhan terhadap tatacara perolehan yang serius dalam projek itu.

“Saya juga mendapati ada beberapa pegawai kementerian cuba membetulkan keadaan, namun nasihat mereka seolah-oleh tidak dipedulikan,” katanya.

“Selain itu, didapati projek ini sebenarnya berjalan terlalu lewat berbanding jadual. Sepatutnya pada 15 Mei 2018, projek ini sudah siap 51 peratus tetapi peratus siap projek ini jauh lebih rendah daripada itu,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Sarawak Report mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan KPM supaya tender projek berkenaan diberikan secara terbuka, sebaliknya ia diserahkan terus kepada sebuah syarikat sewaan kereta di Bintulu.

Laporan berkenaan turut menyatakan bahawa kakitangan kementerian yang menyatakan keprihatinan berhubung proses penganugerahan kontrak berkenaan ditukarkan manakala laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) langsung tidak diendahkan.

Pemeriksaan terhadap latar belakang syarikat berkenaan mendapati ketua pegawai eksekutifnya turut memegang jawatan dalam sebuah parti politik di Sarawak.

Maszlee berkata, sekolah yang terbabit pada asalnya tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan menggunakan set janakuasa diesel untuk menjana elektrik dibekalkan beberapa kontraktor secara kontrak sebelum 2017.

Bagaimanapun, beliau berkata, mulai 1 Januari 2017, kontrak diberikan kepada syarikat berkenaan bagi membekalkan sistem hibrid solar dan diesel ke semua 369 sekolah berkenaan bagi tempoh tiga tahun.

“Proses pemberian projek menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kenapakah perolehan yang sebegitu besar nilainya tidak dilakukan secara tender terbuka dan kenapa sebuah syarikat ini diberikan monopoli yang sebegitu besar?” katanya.

Maszlee berkata, beliau juga sudah mengarahkan pegawainya mencari jalan penyelesaian segera supaya ia selaras dengan perjanjian dan perundangan yang berkuat kuasa selain memastikan bekalan elektrik ke sekolah yang terbabit tidak terganggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 11:36 PM