Zanariah Abd Mutalib


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini menahan seorang lagi pengarah syarikat bagi membantu siasatan kes berkaitan projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak membabitkan kos RM1.25 bilion.

Sumber berkata, pengarah syarikat berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 7.45 malam ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, suspek adalah individu ketiga yang ditahan SPRM berhubung siasatan kes itu.

Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Semalam, dua individu termasuk seorang pengarah syarikat direman enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kedua-dua suspek masing-masing pengarah syarikat berusia 59 tahun dan peguam syarikat berusia 30 tahun disiasat mengikut Seksyen 18 Akta (a) SPRM 2009.

Difahamkan, kedua-duanya dipercayai terbabit dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM221 juta.

Kementerian Pendidikan sebelum ini memulakan siasatan dalaman berhubung projek membekal panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak yang diberikan kepada syarikat berpangkalan di Bintulu.

Pengagihan projek berkenaan didakwa dilakukan oleh seorang bekas pemimpin negara yang meluluskannya tanpa menawarkan tender terbuka, sekali gus melanggar prosedur Kementerian Pendidikan.

Berita berkaitan

Dua direman kes tenaga solar Sarawak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 11:40 PM