MURID Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya tekun membaca al-Quran.
MURID Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya tekun membaca al-Quran.
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Cinta terhadap al-Quran mendorong seorang murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Jaya di sini, menghabiskan masa terluang dengan membaca ayat suci sehingga 30 juzuk sebanyak enam kali.

Muhammad Aiman Mohd Rashidi, 12, berkata, dia yang mula diperkenalkan dengan bacaan al-Quran ketika berusia enam tahun menghabiskan bacaan pertamanya setahun kemudian.

Menurutnya, dia menetapkan sekurang-kurangnya dapat membaca dan menghabiskan semua surah yang terkandung dalam sekali setiap tahun.

“Alhamdulillah syukur, ketika berusia 12 tahun saya sudah khatam 30 juzuk sebanyak enam kali.

“Ini satu pencapaian terbaik dalam hidup saya dan berharap amalan ini dapat dikekalkan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui di Program World #QuranHour di sini, semalam.

Dalam program berkenaan, lebih 600 murid dan guru mengambil bahagian membaca al-Quran dalam tempoh satu jam untuk mengimarahkan Ramadan.

Bagi murid tahun enam, Alya Nasuha Mohd Daud, berkata, dia yang sudah menghabiskan bacaan 30 juzuk sebanyak empat kali memanfaatkan program berkenaan untuk memperbaiki bacaannya ke arah lebih baik.

“Membaca al-Quran secara beramai-ramai seperti ini bukan hanya seronok tetapi ia membantu saya meningkatkan lagi pemahaman dan mempelajari cara bacaan yang lain sekali gus dapat memperbetulkan bacaan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 9:43 AM