SEBAHAGIAN daripada 103 pelajar miskin menjamu selera pada Majlis Iftar Amal Ihtiman Ramadan di Hotel Perdana. -Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
SEBAHAGIAN daripada 103 pelajar miskin menjamu selera pada Majlis Iftar Amal Ihtiman Ramadan di Hotel Perdana. -Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi

“ALHAMDULILLAH. Wang zakat ini nanti boleh saya guna untuk membeli baju raya saya dan adik-adik,” kata Nurul Aina Najihah Mohd Nordin,17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu.

Menurut pelajar Tingkatan Lima itu, dia dan adik beradik yang lain masih belum membuat persiapan untuk menyambut 1 Syawal yang akan disambut pada minggu hadapan.

“Saya, kakak dan adik-adik tidak mahu menyusahkan umi dan ayah. Pekerjaan ayah sebagai buruh kasar dengan pendapatan RM700 sebulan hanya cukup untuk menampung keperluan serta makan minum kami sekeluarga.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, memaksa ayah mengambil upah memasang pendawaian elektrik di rumah penduduk yang memerlukan khidmatnya.

“Memahami situasi ayah yang sanggup melakukan dua pekerjaan dalam satu masa untuk menyara keluarga, menyebabkan saya dan yang lain berkongsi wang zakat yang diberikan kepada kami untuk membeli baju raya baharu kerana tidak mahu membebankan ayah,” kata anak kedua daripada 10 beradik itu.

Dia berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Iftar Amal Ihtimam Ramadan Bank Islam 2018 di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, di Kota Bharu, semalam.

NURUL AINA NAJIHAH MOHD NORDIN
NURUL AINA NAJIHAH MOHD NORDIN

Nurul Aina Najihah berkata, dia yang mendapat biasiswa daripada RM800 setahun akan menggunakan bantuan yang diberikan sebaik mungkin untuk perbelanjaan sekolahnya.

“Pada tahun ini saya akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan biasiswa yang diperoleh ini dapat digunakan untuk membeli buku rujukan selain barang keperluan sekolah yang lain,” katanya.

Nurul Aina Najihah adalah antara 133 penerima zakat yang disumbangkan Bank Islam Malaysia Berhad untuk meringankan beban golongan memerlukan bagi persiapan menyambut Aidilfitri.

Terdahulu Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff menyampaikan sumbangan zakat kepada setiap penerima.

Hadir sama, Pengurus Besar Ketua Pegawai Syariah Bank Islam, Mohd Nazri Chik dan Ketua Sumber Manusia, Razman Ismail.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata, dalam majlis berbuka puasa yang diadakan itu, Bank Islam menyumbangkan zakat berjumlah RM138, 950.

“Sejumlah RM38,950 diperuntukkan untuk 103 pelajar kurang berkemampuan dari enam sekolah dan turut disampaikan sumbangan untuk pembangunan fasiliti surau sekolah berkenaan, selain 30 asnaf terdiri daripada golongan ibu selain tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Dalam masa sama, zakat perniagaan tahunan Bank Islam berjumlah RM100,000 turut disalurkan kepada empat institut pengajian tinggi (IPT) iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM); Yayasan Islam Kelantan (YIK) ; Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk kebajikan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 50 pek barangan keperluan dapur turut diagihkan kepada asnaf di sekitar Kota Bharu untuk meringankan beban mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 11:55 AM