MOHAMAD Sabu. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Sabu. FOTO Arkib NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu mencuit hati warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta tetamu jemputan apabila berjenaka, 'lebih mudah berceramah daripada membaca teks ucapan'.

Beliau berkata demikian ketika memulakan ucapan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Bungkusan Hari Raya Aidilfitri kepada warga pertahanan di Auditorium Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad berkata, sebelum ini, sudah 40 tahun beliau berceramah tanpa teks dan kini selepas bergelar menteri, beliau perlu mengikut teks ucapan.

"Sebelum ini, 40 tahun saya berceramah tanpa teks, tiba-tiba kena baca teks ucapan pula," katanya sambil disambut gelak ketawa tetamu jemputan.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Malah, ketika berucap, Mohamad turut sebak apabila menyebut mengenai pengorbanan perajurit terdahulu yang menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan demi mempertahankan negara.

Menurut Mohamad, sempena Aidilfitri kali ini, ATM menerima sumbangan dalam bentuk kewangan daripada 48 agensi terdiri daripada badan korporat, badan berkanun, syarikat swasta dan persatuan sukarela keseluruhannya berjumlah RM1.64 juta.

Malah, ATM turut menerima sumbangan barangan daripada 11 syarikat, koperasi, persatuan sukarela.

"Saya selaku Menteri Pertahanan mewakili warga ATM berterima kasih atas sumbangan yang diterima hari ini.

"Keprihatinan dan keikhlasan ini menjadi bukti bahawa rakyat menghargai curahan bakti perjuangan dan pengorbanan ATM dalam mendaulatkan tanah air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 2:05 PM