MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir. FOTO Arkib NSTP
MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir. FOTO Arkib NSTP
Petah Wazzan Iskandar


KEDAH menjadi negeri kedua mengumumkan potongan sebanyak 10 peratus gaji asas Menteri Besar dan semua EXCO berkuat kuasa bulan ini, sekali gus mengikut jejak Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ketetapan terbabit diputuskan pada mesyuarat EXCO, hari ini sebagai langkah menjimatkan perbelanjaan dan prihatin terhadap masalah kewangan negeri.

“Kepemimpinan kerajaan negeri bersama dengan rakyat yang ketika ini menanggung pelbagai bebanan dan tanggungan kewangan.

“Keputusan sebulat suara ini selari dengan ketetapan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa gaji asas jemaah Menteri dipotong 10 peratus, berkuat kuasa serta merta," katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, sebentar tadi.

Hari ini, Johor menjadi negeri pertama mengikut jejak Kerajaan Persekutuan dengan melaksanakan pemotongan gaji semua anggota EXCO sebanyak 10 peratus.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian dipetik berkata, mesyuarat EXCO bersetuju untuk memotong 10 peratus berkuat kuasa serta merta.

Minggu lalu, Dr Mahathir mengumumkan persetujuan pemotongan gaji asas sebanyak 10 peratus itu menunjukkan jemaah Menteri prihatin terhadap masalah kewangan negara.

Beliau dipetik berkata, gaji menteri adalah lebih rendah daripada pegawai tinggi kerajaan, dan kerajaan tidak bercadang menaikkan gaji menteri sebaliknya akan dikurangkan sebanyak 10 peratus.

Berita berkaitan

Johor potong gaji EXCO

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 9:12 PM