OSMAN ketika sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN
OSMAN ketika sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohd Fahmi Mohd Yusof


KERAJAAN Johor menjadi negeri Pakatan Harapan (PH) pertama mengikut jejak Kerajaan Persekutuan dengan melaksanakan pemotongan gaji semua EXCO sebanyak 10 peratus.

Pada masa sama, kerajaan negeri mengumumkan untuk meneruskan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 sempena Aidilfitri, malah diperluaskan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan berkanun Negeri Johor.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan bersetuju untuk memotong 10 peratus gaji dalam mesyuarat EXCO kali kedua yang berlangsung hari ini.

Katanya, keputusan itu mengikut perkara yang sudah diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita tidak pasti sehingga bilakah perkara ini akan dilaksanakan dan ia bergantung kepada keadaan semasa sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Justeru, kita menjadi negeri pertama yang menyahut seruan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah sama memotong gaji anggota Jemaah Menteri sebanyak 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Osman berkata, pihaknya berbincang banyak perkara dan akan meneruskan beberapa kertas kerja terdahulu.

“Kita juga meluluskan beberapa perkara antaranya bayaran bantuan khas kewangan 2018 sebanyak RM1,000 sempena Aidilfitri, yang akan dipanjangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan berkanun Negeri Johor.

“Di samping itu, kita akan mengiktiraf Ketua Pembangkang dan akan memberi elaun serta pejabat untuk beliau, ini adalah satu pengiktirafan yang baharu di bawah pemerintahan Kerajaan Negeri PH,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 5:21 PM