SHAFIE Apdal (kiri) pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Bangunan PPNS, di Kota Kinabalu. FOTO/EDMUND SAMUNTING
SHAFIE Apdal (kiri) pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Bangunan PPNS, di Kota Kinabalu. FOTO/EDMUND SAMUNTING
Mohd Izham Unnip Abdullah


KERAJAAN negeri menyerahkan sepenuhnya kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil langkah perlu berhubung usaha mengesan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bagi melengkapkan siasatan agensi terbabit.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bagi kerajaan negeri pihaknya hanya boleh membantu dari segi menyediakan dokumen yang berkaitan dengan siasatan jika diperlukan.

“Kita menyerahkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan SPRM kerana mereka ada bidang kuasa untuk mengambil tindakan susulan, jadi biar mereka yang buat.

“Jika bantuan kita diminta seperti menyediakan dokumen berkaitan kita akan sediakan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di Kota Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Madius Tangau dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Christina Liew.

Mohd Shafie berkata, agensi yang terbabit dalam usaha mengesan dan menyiasat Musa ada keupayaan bagi memastikan mereka dapat menemui dan melengkapkan siasatan ke atas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.

Musa dicari polis untuk membantu siasatan berhubung laporan polis berkaitan ugutan jenayah yang difailkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin baru-baru ini.

Bagaimanapun, sehingga ke hari ini Musa belum dapat dikesan, malah adiknya yang juga bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjurannya beberapa hari lalu turut memaklumkan tidak mengetahui di mana Musa berada.

Pihak SPRM baru-baru ini dilaporkan berkunjung ke kediaman Musa di berhubung siasatan terhadap presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan tetapi gagal memasuki premis tersebut kerana beliau dikatakan tiada di rumah.

Musa bagaimanapun memberikan kebenaran kepada SPRM untuk memeriksa rumah beliau yang disampaikan melalui peguam beliau Zahir Shah dalam satu kenyataan minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 5:12 PM