ANGKA warga asing yang meminta sedekah di bazar Ramadan memperlihatkan peningkatan.
ANGKA warga asing yang meminta sedekah di bazar Ramadan memperlihatkan peningkatan.
Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Sikap murah hati dan suka bersedekah dalam kalangan rakyat tempatan diambil peluang oleh golongan pendatang tanpa izin (PATI) untuk menjadi peminta sedekah.

Malah bilangan mereka yang muncul di beberapa lokasi bazar Ramadan di negeri ini kian meningkat berikutan kehadiran orang ramai yang membeli juadah pada setiap petang.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan, Ruzaana Mohamed berkata, susulan maklumat diperoleh, pihaknya melakukan Ops Mega bagi mengekang aktiviti itu bermula jam 5 petang kelmarin.

Katanya, anggotanya menahan tujuh PATI warga Thailand, Myanmar dan Kemboja termasuk seorang wanita berusia antara 24 dan 58 tahun.

“Ketika ditahan mereka sedang meminta sedekah termasuk berkerusi roda di bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kubang Kerian, Kota Bharu dan Wakaf Bharu, Tumpat.

“Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 8(3)(d) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua pendatang asing itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Ruzaana berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan PATI terbabit mengambil kesempatan meraih simpati di kawasan tumpuan ramai sepanjang Ramadan.

“Operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa membabitkan sektor pembinaan atau premis perniagaan dan bazar Ramadan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 5:57 AM