ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran  premis Premis pengumpulan barangan lusuh di Pasir Tumboh, Kota Bharu, petang semalam. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran premis Premis pengumpulan barangan lusuh di Pasir Tumboh, Kota Bharu, petang semalam. FOTO ihsan bomba
Rosliza Mohamed


PREMIS pengumpulan barang lusuh seluas 0.4 hektar musnah dalam kebakaran di Pasir Tumboh, Kota Bharu, petang semalam.

Kejadian 4 petang itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Ketua Bomba Zon Kota Bharu Penguasa Bomba Kanan II Syobirin Abd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 4.01 petang.

Katanya, seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Darulnaim, Tunjung dan Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi, selain dibantu 21 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) memadamkan kebakaran itu.

“Ketika kami sampai api sedang marak membakar pelbagai barangan lusuh membabitkan besi dan plastik terpakai.

“Kebakaran dapat dikawal dalam masa lebih kurang dua jam,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Beliau berkata, dalam kejadian itu pihaknya berjaya menyelamatkan enam rumah berhampiran daripada terbakar.

Menurutnya, bomba dibantu dengan penggunaan jengkaut kepunyaan pemilik premis untuk memadam kebakaran.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 9:15 AM