Oleh Kalidevi Mogan

Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 46 tahun patah kedua-dua tangan dan kaki kanan selepas terjun dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Taman Midah, Cheras dalam kejadian kira-kira 5.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, pengawal keselamatan bangunan kediaman itu menghubungi pondok polis Taman Midah selepas nampak mangsa terjun.

Katanya, dua anggota polis yang dikejarkan ke lokasi kejadian mendapati mangsa yang terjun dari unit rumahnya di tingkat 6 terjatuh di tingkat 3 pangsapuri berkenaan.

"Lelaki itu ditemui terbaring dan mengalami kecederaan parah dibahagian tangan dan kaki di mana tulang tumit kaki sebelah kanan terkeluar dan berdarah manakala kedua-dua belah tangan tidak dapat diangkat.

"Mangsa sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan ambulans," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dalam keadaan mabuk dan

menghentak kepalanya sendiri dengan kerusi sebelum nekad terjun ke bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 10:05 AM