Mohd Rizal Abdullah


LELAKI tergamak mengugut menembak bapa kandungnya hanya kerana enggan memberinya wang.

Dalam kejadian di rumah panjang di Long Tabing, Tinjar, Miri, 11.30 malam Isnin lalu, suspek berusia 27 tahun itu bertindak mengancam menembak bapanya berusia 48 tahun menggunakan senapang angin buatan sendiri.

Ketua Polis Daerah Marudi Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, bagaimanapun, suspek berjaya ditahan di rumahnya pada 5.15 petang semalam, selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis turut merampas selaras senapang angin buatan sendiri terbabit.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Beluru untuk tindakan lanjut," katanya.

Gabriel berkata, siasatan mendapati suspek adalah penganggur.

"Mangsa yang ketakutan kemudiannya melarikan diri sebelum membuat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 5:34 PM