Ahmad Faizal (empat kanan) dan Zainol Fadzi (lima kiri) bersama ahli UMNO yang keluar parti. FOTO Abdullah Yusof
Ahmad Faizal (empat kanan) dan Zainol Fadzi (lima kiri) bersama ahli UMNO yang keluar parti. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail dan Mohd Hafizee Mohd Arop

LEBIH 200 ahli UMNO termasuk seorang bekas Exco kerajaan negeri dan tiga Timbalan Ketua Bahagian mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sebuah hotel di Ipoh hari ini.

Majlis penyerahan borang keahlian PPBM itu diketuai bekas Exco yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin kepada Menteri Besar yang juga Pengerusi PPBM negeri, Ahmad Faizal Azumu.

Zainol Fadzi adalah dua ADUN Barisan Nasional (BN) yang bertindak memberikan sokongan kepada Ahmad Faizal bagi membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) selain seorang lagi bekas Exco yang juga ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Selain itu, turut mengumumkan menyertai PPBM adalah tiga Timbalan Ketua Bahagian UMNO iaitu Datuk Abdul Muhaimin Abdul Rahman Nazri (Bagan Serai), Datuk Naziruddin Bandi (Teluk Intan) dan Datuk Kamarul Rashdan Salleh (Tanjung Malim), selain Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah, Pazli Abdullah.

Selain itu beberapa Ahli Jawatankuasa Bahagian, ketua Wanita, Puteri dan Pemuda dan bekas pimpinan cawangan turut mengambil tindakan sama.

Zainol Fadzi pada sidang medianya selepas menyerahkan borang menyertai PPBM itu berkata, tindakan itu dibuat berikutan situasi semasa dan perkembangan politik tanah air yang berlaku.

“Saya mengumumkan peletakan semua jawatan saya di dalam UMNO dan mengisytiharkan diri saya keluar dari UMNO. Keputusan ini saya buat secara suka rela dan tanpa paksaan, imbuhan atau sebarang janji daripada mana-mana pihak.

“Keputusan ini juga saya ambil setelah mengambil kira pendapat majoriti daripada rakyat termasuk pengundi dan penyokong di kawasan saya semalam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya ia adalah keputusan terbaik untuk kepentingan dan perpaduan rakyat.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, penghijrahan mereka ke dalam PPBM hari ini disebabkan situasi semasa yang berlaku dalam UMNO.

“Memang akan berlaku segala kata-kata kecaman daripada mereka yang tidak berpuas hati tapi kita terimalah dengan rasa syukur dan berdoa semua diberikan kekuatan untuk membangunkan negara dan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada dua ADUN BN yang menyertai PPBM dan menyokong PH membentuk kerajaan itu akan ditawarkan sebarang jawatan dalam EXCO kerajaan negeri, Ahmad Faizal tidak menolak kemungkinan itu.

Katanya, apa pun pihaknya hanya akan mencadangkan senarai nama EXCO untuk dipersembahkan dan dinilai Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum diputuskan.

Beliau berkata, apa yang ingin ditegaskan adalah penyertaan lebih ramai ahli UMNO ke dalam PPBM bukan kerana mengejar kontrak atau jawatan sebaliknya adalah disebabkan perubahan dan kesedaran serta penyatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 8:15 PM