MOHD Faizal dibantu rakannya memakai sut adiwira Iron Man.
MOHD Faizal dibantu rakannya memakai sut adiwira Iron Man.
MOHD Faizal memakai sut adiwira Iron Man bersama murid di Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia Temerloh.
MOHD Faizal memakai sut adiwira Iron Man bersama murid di Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia Temerloh.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Minatnya terhadap watak Iron Man, menyebabkan Mohd Faizal Muda, 34, sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit semata-mata untuk mengumpul apa sahaja barangan bertemakan adiwira itu.

Dalam kehidupan sehariannya Mohd Faizal menggunakan pakaian, beg, kasut, topi keledar, jam tangan, cermin mata, tali pinggang, sarung telefon pintar dan cadar bertemakan adiwira kesayangannya itu.

Berikutan itu tidak hairan jika Mohd Faizal, diberi gelaran Iron Man Temerloh dalam kalangan kenalan dan penduduk di daerah berkenaan.

Koleksi pertamanya topi keledar dibeli RM800 dan sejak 2008 dia sudah membelanjakan lebih RM30,000 termasuk untuk membeli sut adiwira itu daripada sebuah syarikat di United Kingdom.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memberitahu dia turut memiliki dua lagi sut Iron Man yang ditempah khas dan kini menjadi antara koleksi paling berharga dalam simpanannya.

Menurutnya, dia menempah sut lengkap Iron Man yang pertama dari Filipina bernilai RM4,500 manakala yang kedua dibeli daripada sebuah syarikat tempatan berharga RM5,000.

Pegawai Unit Pendidikan Pesakit Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, Pahang itu berkata, minat terhadap watak Iron Man bermula sejak kecil.

Jelasnya, gelagat ‘gila-gila’ aktor terkenal Hollywood Robert Dawney Jr yang berjaya menghidupkan watak Iron Man dalam beberapa siri filem menyebabkan dia semakin bersemangat mengumpul barangan bertemakan adiwira berkenaan.

“Selepas bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, saya kumpul koleksi karakter kesayangan ini dan menjadikannya hobi nombor satu.

“Selepas membeli topi keledar saya hias seluruh kereta Proton Wira milik saya dengan lukisan Iron Man. Memang berbaloi kerana lukisan itu menarik perhatian orang ramai hingga kerap menang pelbagai anugerah dalam pertandingan menghias kereta disertai di seluruh negara,” katanya.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, dia turut menerima jemputan menghiburkan kanak-kanak di hospital dan sekolah selain menyertai program kempen derma darah serta majlis amal.

“Saya hiburkan kanak-kanak dan gembira dengan keterujaan mereka bila melihat kehadiran Iron Man di hospital. Jemputan bukan sekadar untuk penganjuran program sekitar Pahang, malah saya pernah ke Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

“Semuanya dilakukan bila ada waktu terluang, saya bersyukur kerana keluarga dan majikannya memahami minat saya ini asalkan tidak mengabaikan tugasan hakiki,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penjagaan koleksi itu tidak sukar kecuali sut Iron Man yang perlu diberi penjagaan khas selain dibersihkan secara kerap.

“Ada masa terluang saya mencuci sut berkenaan. Saya dapat banyak ilmu hasil perkongsian maklumat dengan rakan kenalan menerusi kumpulan The Ultimate Cosplayer.

“Memang sesiapa nak mengumpul koleksi dan membeli kena banyak bertanya serta mengkaji agar tidak mudah tertipu,” katanya.

Sejak 2014 Mohd Faizal, mula mengumpul koleksi adiwira Marvel yang lain seperti Captain America dan Thor, bagaimanapun jumlahnya tidak sebanyak Iron Man.

“Saya akan terus mengumpul koleksi ini selagi mampu dan harap akan jadi satu kenangan manis sepanjang hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 3:08 AM