Manirajan Ramasamy; Irwan Shafrizan Ismail; Veena Babulal; Mohd Nasaruddin Parzi; Luqman Arif Abdul Karim; Arfa Yunus dan Mohd Fahmy Azril.

KERAJAAN akan melantik individu lain sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi menjalankan tugas sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan pendakwa raya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyatakan, kerajaan pimpinannya yang baharu dibentuk kini tidak mempunyai Peguam Negara.

Beliau berkata, keputusan untuk menggantikan Peguam Negara sedia ada dibuat bagi membolehkan Mohamed Apandi disiasat terhadap keputusannya yang disifatkan sebagai salah, terutama berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kami sudah meletakkan beberapa sekatan terhadap beberapa orang yang mungkin terbabit dalam salah laku atau membuat keputusan yang salah, jadi pada masa ini kami tidak mempunyai Peguam Negara.

“Kami menimbangkan nama, tetapi kita perlu mengkaji kesesuaian calon, kita tidak boleh membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet, di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Wisma Yayasan Selangor, hari ini.

Hadir sama, pimpinan tertinggi Pakatan Harapan antaranya Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, kedudukan, peranan dan kuasa Peguam Negara adalah termaktub dalam Perkara 145. Peguam Negara adalah penasihat undang-undang utama kepada kerajaan, selain bertindak sebagai Pendakwa Raya.

Pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan beliau mestilah terdiri daripada individu yang mempunyai kelayakan untuk menjadi seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, di Putrajaya, Mohamed Apandi enggan mengulas kenyataan terbaharu Dr Mahathir mengenai kedudukannya.

“Adalah lebih baik tidak memberi ulasan. Terima kasih,” jawapan ringkas Mohamed Apandi menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Kelmarin, media melaporkan dengan memetik Mohamed Apandi sebagai berkata, bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara, berikutan jawatan disandangnya itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Saya tidak akan letak jawatan yang mana jawatan ini telah diperkenan oleh Agong. Saya diasuh untuk sentiasa menjunjung titah Raja. Kerana saya adalah seorang Melayu jati,” katanya seperti dipetik media.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 8:03 PM