Ahmad Suhael Adnan


RAKYAT kini boleh melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ‘berdiri’ di depan mereka dan berbicara dengan pengundi pada bila-bila menerusi aplikasi berita digital 'Hebatkan Negaraku'.

Kaedah kempen itu yang pertama seumpamanya di dunia dilancarkan BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini, sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Aplikasi unik yang dilengkapi dengan teknologi 'augmented reality' dan hologram itu merevolusikan kaedah kempen pilihan raya di Malaysia.

Ciri augmented reality dalam aplikasi itu membolehkan calon Parlimen BN pada poster kempen ‘timbul dan berbicara’ pada telefon pintar pengundi manakala teknologi hibrid akan menampakkan calon BN itu seolah-olah berada di depan pengguna.

Sementara itu, teknologi ‘hologram’ pula akan menayangkan imej Najib di atas trak khas dan berbicara dengan pengundi 'secara langsung'.

Bagi mengaktifkan teknologi augmented reality, pengguna perlu memuat turun aplikasi itu dan menghalakan telefon pintar ke arah poster atau papan iklan yang memaparkan mana-mana calon BN untuk membolehkan mereka akan 'muncul' dan menyampaikan mesej tersendiri.

Antara contoh aplikasi popular yang menggunakan teknologi augmented reality adalah Pokemon Go yang membolehkan pengguna seolah-olah melihat watak dalam siri kartun itu berdiri di hadapan mereka.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, lapan trak 10 tan akan membawa teknologi ke jelajah kempen PRU14 BN di seluruh negara sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, ciri-ciri dalam aplikasi itu boleh digunakan pada semua papan iklan dan poster yang memaparkan wajah 222 calon Parlimen BN dengan slogan Hebatkan Negaraku di seluruh negara.

"Aplikasi ini dilancar dan digunakan oleh BN untuk mendekati dan menyampaikan maklumat terkini kepada pengund, sekali gus menunjukkan BN berada di hadapan dalam mendepani Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dengan era ekonomi digital.

"BN mengambil pendekatan menggunakan teknologi terkini sebagai wadah menyampaikan segala yang sudah dilaksanakan dan akan dilakukan bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Teknologi seperti augmented reality banyak digunakan di negara maju sebagai alternatif baharu dalam penyampaian maklumat dan saya berharap aplikasi ini memudahkan pengundi mengenali calon BN di kawasan masing-masing," katanya pada Majlis Pelancaran Aplikasi Digital Kempen BN di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Terdahulu, Tengku Adnan bersama hadirin menggunakan teknologi terbabit untuk memaparkan Najib yang juga Pengerusi BN, seolah-olah berada bersama pada majlis .

Aplikasi Hebatkan Negaraku itu kini boleh dimuat turun di Google Store bagi pengguna Android dan Apps Store untuk pengguna iOS.

Selepas memuat turun aplikasi itu, pengguna akan diberi pilihan untuk memilih kawasan Parlimen masing-masing dan akan mendapatkan maklumat berkaitan calon Bn di kawasan yang dipilih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 11:08 PM
PENGUNJUNG, Nor Syuhada Mohd Tarmizi, 26, mencuba aplikasi Hebatkan Negaraku ketika majlis pelancaran. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGUNJUNG, Nor Syuhada Mohd Tarmizi, 26, mencuba aplikasi Hebatkan Negaraku ketika majlis pelancaran. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali