SITI Maisarah anggap tidak mudah putus asa serta menjaga hubungan baik dengan Allah SWT sebagai kunci kecemerlangannya menerima Anugerah Canselor Ijazah Doktor Falsafah Penyelidikan Fizik pada Majlis Konvokesyen ke-60 UTM di Johor Bahru, hari ini. FOTO Farah Dinah Hassan.
SITI Maisarah anggap tidak mudah putus asa serta menjaga hubungan baik dengan Allah SWT sebagai kunci kecemerlangannya menerima Anugerah Canselor Ijazah Doktor Falsafah Penyelidikan Fizik pada Majlis Konvokesyen ke-60 UTM di Johor Bahru, hari ini. FOTO Farah Dinah Hassan.
Farah Dinah Hassan


JANGAN putus asa dan sentiasa jaga hubungan baik dengan Allah SWT adalah rahsia kejayaan Siti Maisarah Aziz, 27, yang mendapat Anugerah Canselor Ijazah Doktor Falsafah Penyelidikan Fizik pada Majlis Konvokesyen ke-60 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru, hari ini.

Siti Maisarah berkata, beliau tidak mempunyai rahsia kejayaan unik, sebaliknya rahsia kejayaannya hanyalah berpegang pada Allah SWT dan jangan berputus asa dalam melakukan suatu perkara.

“Jika kita jaga hubungan baik kita dengan Allah SWT, Insya-Allah segala usaha, segala penat lelah belajar kita akan tercapai dan kita tidak akan tertinggal di belakang.

“Bidang penyelidikan memerlukan kesabaran tinggi dan saya tidak boleh putus asa dengan cepat. Apabila sampel saya buat tidak menjadi, saya perlu semak semula dan ulangi lagi ujian atau sampel terbabit. “Faktor kegagalan ialah putus asa, jadi jika saya putus asa kemungkinan saya tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya.

Siti Maisarah berkata, ibu bapa menjadi pendorong dan semangat untuknya berjaya dan sentiasa berada di sisi untuk menaikkan semangat belajar sehingga meraih keputusan cemerlang.

“Sejak dari dulu saya sambung ijazah sarjana muda, sarjana sehinggalah saya mendapat doktor falsafah, ibu dan ayah tidak pernah tinggalkan saya ketika susah dan senang, malah sentiasa membantu menaikkan lagi semangat saya.

“Saya berterima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang banyak membantu dan berkorban sehingga saya mampu mencapai kejayaan cemerlang,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu yang pernah bekerja sebagai pensyarah kontrak di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang, mempunyai perancangan untuk menjadi pensyarah di sebuah universiti di Terengganu bagi membolehkannya berada dekat dengan ibu bapa.

“Sebelum berkahwin, saya hendak berbakti kepada ibu bapa yang banyak berkorban sehingga saya menjadi insan cemerlang dan berpelajaran tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 5:13 PM