PESAWAT Malindo Airlines yang tergelincir. FOTO EPA
PESAWAT Malindo Airlines yang tergelincir. FOTO EPA
Teoh Pei Ying


SEMUA penumpang dan anak kapal pesawat Malindo Air yang tergelincir di Kathmandu, Nepal dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam kejadian 10.25 malam waktu tempatan, pesawat itu tergelincir dari landasan ketika berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribuvan, Kathmandu, ke Kuala Lumpur, malam tadi.

Syarikat penerbangan Malindo Air yang mengesahkan insiden itu melalui satu kenyataan, hari ini, memaklumkan semua 132 penumpang dan anak kapal berjaya dikeluarkan dengan selamat dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bantuan turut diberikan kepada penumpang yang terjejas termasuk makanan dan penginapan yang disediakan selain pengurusan untuk penerbangan seterusnya.

"Syarikat penerbangan ini kesal terhadap kesulitan dialami penumpang ekoran insiden itu," kata kenyataan berkenaan.

Malindo Air turut memaklumkan bahawa syarikat penerbangan itu memandang serius terhadap kejadian berkenaan dan akan melakukan siasatan bagi menyelesaikan perkara itu dengan segera.

Sebelum ini, AFP melaporkan Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan yang juga pintu masuk udara utama Nepal ditutup berikutan kejadian itu, namun tidak diketahui tempoh lapangan terbang terbabit ditutup.

Jurucakap lapangan terbang terbabit, Prem Nath Thakur berkata, penerbangan itu tersasar dari landasan sebaik juruterbang menyedari ada masalah sebelum menghentikan pesawat berkenaan.

"Pesawat itu tergelincir sebelum masuk ke padang rumput dan berhenti di lumpur kira-kira 30 meter dari landasan," katanya yang turut memaklumkan punca kejadian masih belum dapat diketahui dalam masa terdekat.

Berita berkaitan:

Pesawat Malindo Airlines tergelincir di Nepal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 4:07 PM