GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Izham Unnip Abdullah


PENIAGA didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan masing-masing kerana menjual produk tidak berdaftar dan barangan kosmetik tanpa notifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz memerintahkan Ho Weh Thin, 39, membayar denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan atau berdepan penjara dua bulan jika gagal membayar jumlah denda berkenaan.

Azreena, bagaimanapun membenarkan tertuduh membayar denda secara ansuran sebanyak dua kali dengan jumlah RM2,000 pada hari ini, manakala baki RM2,000 lagi, bulan depan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis Boxes World, Centre Point, Kota Kinabalu ketika pemeriksaan Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri Sabah pada 15 Ogos tahun lalu.

Dia didakwa memiliki pelbagai jenis keluaran (produk) tidak berdaftar kerana melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan 30 (1) peraturan yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, Weh Thin didakwa memiliki produk kosmetik tidak bernotifikasi yang melanggar Peraturan 18A (1) (a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan 18A (15) peraturan yang sama.

Kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952.

Ketika pemeriksaan di premis tertuduh sebelum ini, sebanyak 10 jenis produk disyaki tidak berdaftar dirampas untuk semakan sebelum disahkan bukan keluaran berdaftar kerana tidak memiliki Sijil Perakuan Pendaftaran mengikut Peraturan 9 (4) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Bagi produk kosmetik, sebanyak 16 daripada 22 jenis produk milik tertuduh yang diperiksa disahkan tidak mempunyai notifikasi KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 2:50 PM